AUDUSD telah menunjukkan momentum bulis yang kuat sejak 5 Ogos lalu, didorong oleh “Golden Cross” dan penunjuk teknikal positif. Keputusan Bank Rizab Australia (RBA) untuk mengekalkan kadar pada 4.35% telah menyokong dolar Australia, manakala pemotongan kadar 50 mata asas oleh Rizab Persekutuan AS telah melemahkan dolar AS. Tambahan pula, langkah-langkah rangsangan terkini China telah meningkatkan optimisme terhadap ekonomi Australia yang berorientasikan eksport, seterusnya menyokong AUD. Paras pembetulan Fibonacci utama menunjukkan sasaran berpotensi pada 0.69461, 0.71457, dan 0.74686.
Dasar Berbeza Mendorong AUDUSD Lebih Tinggi
Keputusan dasar monetari terkini oleh Bank Rizab Australia (RBA) dan Rizab Persekutuan telah memberi kesan yang ketara terhadap kadar pertukaran AUDUSD. Keputusan RBA untuk mengekalkan kadar faedahnya pada 4.35% mencerminkan pendekatan berhati-hati yang cenderung menyokong dolar Australia kerana ia meyakinkan pelabur tentang pulangan yang stabil dalam AUD.
Sebaliknya, keputusan Fed untuk memotong kadar faedah sebanyak 50 mata asas memberi kesan mendalam terhadap kadar pertukaran AUDUSD. Langkah ini melemahkan dolar AS, kerana kadar yang lebih rendah mengurangkan hasil aset berdenominasi USD, menjadikannya kurang menarik kepada pelabur global. Akibatnya, AUDUSD berkemungkinan mengalami lonjakan awal berikutan pemotongan kadar Fed, didorong oleh kelemahan USD dan daya tarikan persekitaran kadar Australia yang stabil.
Pelabur mungkin melihat pemotongan kadar faedah yang besar oleh Fed sebagai tanda kebimbangan ekonomi yang semakin meningkat di AS. Ini boleh membawa kepada peningkatan berterusan dalam kadar pertukaran dolar Australia berbanding dolar AS.
Pertumbuhan China: Kunci Masa Depan Dolar Australia
Dolar Australia (AUD) berkait rapat dengan prestasi ekonomi China disebabkan hubungan perdagangan yang kuat. China adalah destinasi eksport yang penting bagi Australia, yang membekalkan bahan mentah seperti bijih besi dan arang batu. Apabila ekonomi China berkembang, permintaan terhadap sumber-sumber ini meningkat, meningkatkan AUD. Sebaliknya, kemelesetan ekonomi di China boleh melemahkan AUD kerana pengurangan permintaan eksport memberi kesan negatif kepada ekonomi Australia.
Inflasi Australia Menurun Apabila IHP Menaik Sebanyak 2.7% Pada Ogos Berikutan Rebat Kerajaan Dan Penurunan Harga Bahan Api
Pada Ogos 2024, Indeks Harga Pengguna (IHP) Australia meningkat sebanyak 2.7% dari tahun ke tahun, menunjukkan penurunan berbanding kenaikan 3.5% pada Julai. Kos perumahan (+2.6%), makanan dan minuman bukan alkohol (+3.4%), serta alkohol dan tembakau (+6.6%) menjadi pemacu utama inflasi, manakala kos pengangkutan menurun sebanyak 1.1%, terutamanya disebabkan oleh penurunan 17.9% dalam harga elektrik hasil rebat kerajaan. Harga bahan api automotif juga jatuh sebanyak 7.6%, mengurangkan tekanan pada sektor pengangkutan. Walaupun berlaku penyederhanaan, harga sewa dan kos kediaman baharu terus meningkat, mencerminkan cabaran berterusan dalam pasaran perumahan. Penyederhanaan inflasi ini berlaku selepas keputusan Reserve Bank of Australia (RBA) untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah, berbeza dengan langkah Rizab Persekutuan AS yang baru-baru ini menurunkan kadar faedah untuk mengurangkan tekanan ekonomi.
Lonjakan Rangsangan China: Penyelesaian Sementara Atau Jangka Panjang?
Bank pusat China memperkenalkan pakej rangsangan secara besar-besaran bertujuan mencegah kitaran deflasi dalam ekonomi negara. Dasar ini merangkumi pemotongan kadar faedah, peningkatan kecairan bank, insentif pembelian rumah, dan rancangan berpotensi untuk dana penstabilan saham. Langkah-langkah ini, yang diumumkan dalam sidang media berprofile tinggi, mencetuskan reaksi positif pasaran, dengan saham China mencatatkan kenaikan terbesar sejak 2020.
Walaupun berlaku peningkatan sementara, para ahli ekonomi percaya rangsangan ini hanya penyelesaian jangka pendek dan pembaharuan struktur yang lebih mendalam diperlukan untuk menangani cabaran ekonomi China, termasuk kelembapan pasaran hartanah yang berpanjangan, harga pengguna yang lemah, dan ketegangan perdagangan global. Walaupun memberi sedikit kelegaan, langkah dasar ini tidak mungkin membalikkan kelembapan ekonomi tanpa usaha lebih besar untuk merangsang penggunaan domestik dan mereformasi ekonomi.
Keterdesakan situasi ini digariskan oleh fakta bahawa langkah-langkah tersebut dilaksanakan secara tergesa-gesa berikutan kebimbangan China mungkin tidak mencapai sasaran pertumbuhan tahunannya. Walaupun kesan secara serta merta menunjukkan pemulihan pasaran, ramai percaya isu ekonomi jangka panjang masih belum diselesaikan, memerlukan tindakan lanjut untuk mencegah kemerosotan berpanjangan.
Golden Cross AUDUSD Mencetuskan Momentum Menaik Dengan Sasaran Utama di Hadapan
Pasangan AUDUSD telah menunjukkan aliran menaik yang kukuh sejak 5 Ogos lalu selepas melantun semula daripada paras rendah iaitu 0.63474. Momentum kenaikkan meningkat pada 21 Ogos dengan “Golden Cross” apabila Purata Bergerak Eksponen 20 tempoh melintasi di atas Purata Bergerak Eksponen 50 tempoh, menandakan pembalikan menaik. Ini, digabungkan dengan pembalikan ayunan gagal, telah membuka jalan untuk kenaikan selanjutnya. Menggunakan Pembetulan Fibonacci dari paras tinggi ayunan 0.68228 ke paras rendah ayunan 0.66209, sasaran utama muncul pada 0.69461, 0.71457, dan 0.74686, menunjukkan potensi paras menaik.
Kesimpulan
Kesimpulannya, AUDUSD telah menunjukkan momentum menaik yang kukuh didorong oleh faktor-faktor utama seperti keputusan Bank Rizab Australia untuk mengekalkan kadar pada 4.35%, pemotongan kadar 50 mata asas oleh Rizab Persekutuan AS, dan langkah-langkah rangsangan dari China. Walaupun isyarat teknikal seperti “Golden Cross” menunjukkan potensi menaik yang berterusan, pertumbuhan ekonomi China kekal sebagai faktor utama yang mempengaruhi trajektori dolar Australia pada masa hadapan. Pedagang perlu berwaspada terhadap perkembangan ekonomi global sambil memantau paras-paras utama untuk peluang berpotensi dalam kadar pertukaran AUDUSD.